Penjelasan Hadis Mengenai Tawakal

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Akan masuk syurga 70,000 orang dari kalangan umatku tanpa dihisab”, mereka berkata : Siapakah mereka wahai Rasulullah? Baginda menjawab : “Mereka ialah orang tidak mengubati dirinya dengan ruqyah (jampi), tidak percaya kepada petanda baik atau buruk (dengan melihat burung dan sebagainya) dan tidak membakar bahagian tubuh yang sakit dengan besi panas. Mereka bertawakal kepada Allah semata-mata”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penjelasan Hadis

Mengapa di sini orang yang meninggalkan ruqyah itu dipuji serta diberi kelebihan masuk syurga tanpa hisab sedangkan ruqyah itu diajar dan diamalkan sendiri oleh Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam? Para ulama’ mempunyai beberapa pendapat dalam menafsirkan phrase yang saya boldkan di atas. Antaranya :

Ia membawa maksud mereka yang menjauhkan diri daripada kepercayaan bahawa ubat itu mendatangkan manfaat dengan sendirinya seperti mana yang dipercayai oleh orang-orang jahiliyah. Ruqyah yang dipuji sekiranya ditinggalkan itu adalah jenis ruqyah daripada perkataan jahiliyah, bukan daripada al-Quran dan Sunnah yang sahih serta jampi yang tidak dapat difahami maknanya.

(Rujukan : Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Hajar al-’Asqalani)

 Adakah bertawakal itu bermaksud meninggalkan usaha dan sebab?

Tidak sama sekali; kerana itu bertentangan dengan Sunnah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam. Begitu banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyuruh manusia itu berusaha untuk mendapatkan apa yang dihajati. Antaranya; Allah menyebut dalam Surah al-Baqarah ayat 233, maksudnya : […dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya…]. Manakala dalam hadis pula, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Tiada seorang pun yang makan suatu makanan lebih baik daripada apa yang diusahakan dengan tangannya sendiri, sesungguhnya Nabi Daud ‘alayhis-salam makan daripada hasil tangannya sendiri” (hadis riwayat al-Bukhari). Tetapi dalam usaha untuk melaksanakan tawakal, seseorang itu tidak boleh merasakan bahawa sebab itulah yang mendatangkan manfaat atau menolak kemudaratan daripada dirinya tetapi semua itu datangnya dari Allah. Seperti yang saya sebut dalam artikel ‘Tawakal’ sebelum ini, benar sekali apa yang dikatakan oleh Ibn Rajab al-Hanbali (semoga Allah merahmatinya) bahawa manusia itu sangat sedikit tawakalnya, mereka berlebih-lebihan dalam mengambil sebab sedangkan bahagian mereka telah pun ditetapkan oleh Allah. Ambillah sebab tetapi biarlah sekadarnya, jangan berlebih-lebihan sehinggakan kita sendiri tak sedar bahawa kita mengimani yang sebab itulah 100% membawa kita mencapai hajat kita. Seperti dalam hadis burung keluar mencari rezeki, bukankah dia terbang keluar itu satu usaha, tetapi itu usaha yang kecil, pun begitu Allah tetap mendatangkan rezeki padanya kerana ia telah pun tertulis!

Ketika belajar dahulu, saya kurang bersetuju dengan mereka yang terlalu bertungkus-lumus study untuk exam. Saya tak nafikan rajin belajar itu satu perkara yang baik, tapi jika sampai nak pakai baju pun masih mengintai-ngintai buku, pada pendapat saya itulah yang dimaksudkan ‘berlebih-lebihan’ dalam mengambil sebab.

Adakah keadaan di mana seseorang itu hanya bertawakal dan tidak mengambil sebab?

Saya katakan ada; hanya apabila memang TIADA sebab untuk seseorang itu mendapat apa yang dihajatinya. Peristiwa-peristiwa ini memang benar-benar terjadi dalam realiti kehidupan sebagaimana yang disebutkan dalam kisah Nabi Ibrahim ‘alayhis-salam ketika Baginda hendak dicampakkan dalam api lalu api menjadi sejuk. Begitu juga dengan kisah Nabi Musa ‘alayhis-salam ketika Baginda dikejar oleh tentera Fir’aun lalu laut terbelah. Inilah perkara-perkara yang berlaku di luar kebiasaan adat.

Oleh itu, berusahalah semampunya dan bertawakallah dengan sepenuh hati!

sumber : ilidalila.wordpress.com/2010/05/31/penjelasan-hadis-mengenai-tawakal/
sumber gambar : imansetiawanlatief.files.wordpress.com/2011/01/tawakal.jpg?w=286&h=300

 

2 thoughts on “Penjelasan Hadis Mengenai Tawakal

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s